SEBANYAK 272 lagi kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 kini 18,491.
Angka itu menunjuk penurunan selepas dua hari berturut-turut kes kematian akibat Covid-19 melepasi 300, iaitu 336 semalam dan 362 pada 4 September lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melalui data dan infografik dikongsi di Facebooknya berkata jumlah kes sembuh baharu hari ini adalah 20,201, lebih tinggi berbanding kes baharu iaitu 17,352.
Ia menjadikan kumulatif kes sembuh hingga kini 1,591,028 atau 85.44 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di Malaysia iaitu 1,862,187 kes.
Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 17,344 adalah kes tempatan dan lapan kes import.
Sementara itu, jumlah kes aktif Covid-19 adalah 252,668 di seluruh negara.
Pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 975 kes dengan 435 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – Malaysiapost – Malaysiapost

