MAYAT warga emas yang hilang dalam kejadian Perodua Myvi hanyut di Sungai Kionsom di Inanam, Sabah, ditemui dalam timbunan pasir di tebing sungai Kampung Dambai, hari ini.
Mayat Simon Sange Tupe, 68, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata mayat itu ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi Perodua Myvi dihanyutkan arus, Jumaat lalu.
Katanya, mayat ditemukan tertanam di dalam timbunan pasir sejauh 800 meter daripada lokasi penemuan kenderaan.
“Mayat dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk menjalani proses ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 2.20 petang tadi.
“Mayat dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Kita berterima kasih kepada penduduk kampung yang membantu pihak berkuasa,” katanya.
Dalam kejadian petang Jumaat lalu, Simon Sange dan Juning Maturun, 37, yang menaiki Perodua Myvi cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai tersebut.
Mayat Juning ditemui terperangkap dalam kereta itu pada pagi Sabtu lalu. – Malaysiapost

