Tiada lagi kunjungan Mak Cik Saadiah di IPD Gerik

0
1

SELEPAS 37 tahun menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik hampir setiap hari kecuali sakit, warga emas, Saadiah Abdullah meninggal dunia semalam.

Foto : FB Viral Perak

Menjadi rutin bagi Saadiah, 84, balu anggota polis menghantar makanan ke IPD Gerik sebagai mengenang arwah suaminya, Alias Nik Daud yang meninggal dunia pada 1975.

Foto : FB Viral Perak

Arwah suaminya gugur dalam serangan hendap pengganas komunis sewaktu bertugas sebagai jurupandu bot di balai itu.

Saadiah yang mesra dipanggil Mak Cik Saadiah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik pada jam 12.40 tengah hari semalam selepas beberapa hari dimasukkan ke wad akibat sakit tua.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Kuala Kenderong, Gerik jam 5.30 petang semalam.

Foto : FB Viral Perak

Anak bongsunya, Wan Jelani Alias, 51, berkata biarpun bersedih, timbul sedikit perasaan berbesar hati apabila arwah ‘pergi’ dalam keadaan rakyat Malaysia masih menyambut Hari Kebangsaan.

“Pada kami, emak juga wira kerana walaupun keadaan usia dia sebegitu namun tetap sanggup kayuh basikal sejauh lima kilometer untuk menghantar makanan kepada anggota polis selepas kematian ayah.

“Sepanjang hayatnya, emak tidak pernah melupakan pengorbanan dan sejarah perjuangan arwah ayah. Dia adalah perwira sebenar di hati kami.

“Selain menzahirkan kasih sayang dan kesetiaan kepada arwah ayah, emak secara tidak langsung tunjukkan dia sangat menghargai petugas keselamatan, jadi sebab itu bila arwah ayah sudah meninggal pun dia masih menghantar makanan kepada polis di balai berkenaan,” katanya memetik Harian Metro hari ini.

Wan Jelani yang juga pesara tentera berkata, Allahyarham ibunya banyak mendiamkan diri sejak disahkan menghidap angin ahmar kira-kira dua bulan lalu.

“Keadaan kesihatan emak mula merosot sejak bulan lalu selepas terjatuh di bilik mandi. Dia sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital dalam beberapa minggu yang lalu,” katanya.

Sebelum ini media beberapa kali melaporkan rutin Saadiah mengayuh basikal sejauh lima kilometer dari rumahnya di Kampung Padang, Kuala Kenderong ke IPD Gerik setiap hari untuk menghantar makanan kepada anggota polis.

Pada 2012, Saadiah berhenti sementara menghantar makanan selepas terjatuh basikal dan menyambung kembali aktiviti itu sejak Mei 2017 namun menggantikan makanan berbentuk nasi dan lauk pauk dengan gula-gula dan makanan ringan dengan membonceng motosikal ditunggang anaknya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here