PARTI Pejuang Tanahair (Pejuang) mempertikaikan ura-ura undi percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan dilakukan di Parlimen apabila Dewan Rakyat bersidang pada 13 September ini.
Ia susulan kenyataan Peguam Negara semalam, yang menyatakan undi percaya tidak perlu dilakukan di Parlimen apabila Dewan Rakyat mula bersidang 13 September ini.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kenyataan Idrus itu bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.
Menerusi satu ciapan di Twitter, Ahli Parlimen Jerlun itu menyatakan keabsahan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pernah berlaku kepada dua bekas Perdana Menteri yang membenarkan usul undi percaya terhadap mereka dahulu.
“Kalau undi percaya terhadap Perdana Menteri dianggap mempertikaikan pelantikannya oleh YDP Agong, macam mana dengan undi percaya bagi Tun Hussein Onn pada 1976 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003.
“Ia juga juga dibuat setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di depan Yang di-Pertuan Agong,” ciapnya hari ini.
Undi percaya pernah berlaku pada 27 Januari 1976, 12 hari selepas Allahyarham Tun Hussein Onn dilantik Perdana Menteri menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak.
Disusuli pada 3 November 2003, tiga hari selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semalam, Idrus dilaporkan berkata tiada keperluan mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang dibentuk menurut lunas undang-undang.
Beliau berkata pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, proses pemilihan dijalankan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan menunjukkan pelantikan Ismail Sabri sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

