TOLONG jangan ulang kesilapan saya, jangan memilih vaksin, demikian kata seorang lelaki bekas pesakit tahap lima Covid-19.
Lelaki dikenali sebagai Luqman itu tidak menyangka sikapnya telah membawa padah sehingga terpaksa bertarung nyawa di hospital selama 16 hari.
Menerusi beberapa hantaran di Facebook, Luqman tidak segan silu berkongsi detik bertarung nyawa apabila terpaksa ditidurkan selama empat hari oleh doktor.
“Saya ingin buat pengakuan untuk pengajaran. Pada tengah Julai, saya telah dapat appointment untuk vaksin Sinovac di Movinpick KLIA. Tapi saya tolak sebab nak tunggu appointment untuk Pfizer.
“Saya silap besar yang boleh menggadaikan nyawa dan masa depan anak bini saya. Tak sampai sebulan saya terkena Covid. Punca sporadic. Tolong jangan ulang kesilapan saya. Jangan memilih vaksin.
“Dapat panggilan terus pergi. Covid is real. Bukan konspirasi. Covid adalah ujian Allah untuk kita semua. Allah kurniakan juga ilmu vaksin sebagai pencegah dan pengurang risiko,” katanya.
Dia yang menyesal berkata, vaksin boleh mengelak jangkitan Covid-19 melarat ke tahap tiga ke atas.
“Pada 17 Ogos, doktor memaklumkan saya perlu intubasi kerana paru-paru diserang virus Covid. Saya disahkan menghidap Covid tahap lima. Ditidurkan empat hari (intubated). Memang tak ingat langsung apa berlaku masa koma.
“Sebelum ditidurkan, adik ipar saya Dr Muhammad Ishaq sempat set Zoom video call dengan keluarga saya. Tapi saya tak sempat bercakap banyak sangat kerana nafas dah makin teruk. Saya terus ditidurkan. Saya memang tidak sedar langsung apa yang berlaku semasa empat hari intubasi.
“Perjalanan 16 hari yang mencabar. Alhamdulillah masih diberi peluang untuk hidup. Rasa macam mati hidup semula. Setiap yang berlaku adalah dengan izin-Nya. Pasti ada hikmah yang banyak,” katanya.
Menurutnya, pengalaman dilaluinya perlu diambil pengajaran oleh orang ramai agar tidak mengambil mudah ancaman Covid-19 yang boleh meragut nyawa sesiapa sahaja.
“Ingat rawatan kat pusat kuarantin/hospital best ke? Sakit tau! Sehari kena ambil darah sampai tiga kali. Sama ada ambil darah kat branula atau kena cucuk jarum kat nadi untuk dapatkan darah yang ada oksigen. Tahan sajalah.
“Kalau masuk ICU memang hilang selera makan, walaupun menu hospital sedap-sedap. Nak makan? Satu tiub akan dimasukkan dari hidung masuk kerongkong. Berhari-hari tiub tu dalam kerongkong. Selesa?
“Kena puasa. Hanya susu yang akan dimasukkan dalam tiub tadi. Ubat-ubatan juga akan dihancurkan, dicampur dengan air dan dimasukkan dalam tiub. Hari-hari kena suntikan untuk cairkan darah, insulin, antibiotik,” katanya yang disahkan positif Covid-19 pada 13 Ogos lalu.
Pada mulanya Luqman berkata, dia dimasukkan ke pusat kuarantin MAEP, Serdang, namun terpaksa dipindahkan ke Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia tiga hari selepas itu apabila keadaannya semakin kritikal.
“Berminggu-minggu lekat atas katil. Nak gerak pun tak boleh. Wayar penuh kat badan. Badan pula kena tebuk masukkan drip.
“Nak buang air? Satu tiub akan dimasukkan dalam pundi kencing.. Nak buang air besar? Pakai lampin! Siap buang air, nurse akan datang tolong bersihkan. Memang kena bogel la. Malu!,” katanya.
Luqman yang berusia lingkungan awal 30-an bersyukur seolah-olah Allah memberi peluang kehidupan kedua kepadanya sekali gus dapat menatap anak sulungnya yang lahir ketika dia sedang ‘ditidurkan’.
Mujurlah isterinya yang sedang menanti hari ketika itu disahkan negatif Covid-19 dan selamat menjalani pembedahan melahirkan bayi perempuan pada 18 Ogos iaitu hari kedua Luqman ditidurkan.
Dia turut berkongsi pengalaman ‘sengsara’ sebaik sahaja sedar daripada koma.
“Setelah keadaan stabil, saya dipindahkan dari ICU ke wad biasa. Saya cuba berjalan, tetapi otot kaki tidak membenarkan “Ingat boleh terus jalan? Tak, dah berminggu-minggu lekat atas katil, otot mengecut. Nak jalan kena belajar balik. Kena physiotherapy.
“Dah ok baru boleh jalan pergi bilik air. Baru tahu nikmatnya dapat buang air sendiri dalam mangkuk tandas. Sudah dua minggu tak mandi,” katanya yang dibenarkan pulang ke rumah 28 Ogos lalu. – Malaysiapost

