MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) sama ada membenarkan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang enggan divaksin mengajar secara bersemuka atau sebaliknya.
Menurut beliau, pihaknya juga akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum membuat sebarang keputusan.
“Sepatutnya guru ini orang paling dekat dengan anak murid dan guru KAFA pun saya nasihatkan supaya ambil vaksin.
“Apa yang kita takut sangat soal vaksin ini? Setakat ini ramai orang yang mati kerana Covid-19 dan belum lagi disebabkan vaksin,” katanya memetik laporan Bernama.
Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata 2,500 guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan diberi tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka nanti.
Ini kerana mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas. – Malaysiapost

