463 kawasan sudah terima bekalan air bersih sepenuhnya

0
1

KESEMUA 463 kawasan yang mengalami gangguan air tidak berjadual berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kelmarin, telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya tengah hari tadi, berbanding jangkaan awal pada esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, semua kawasan di lima wilayah yang terjejas iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat menerima bekalan air bersih pada jam 12 tengah hari tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor bagi setiap pertanyaan dan aduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor juga menyarankan agar pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan kerana air kebiasaannya akan kembali jernih selepas lima hingga 10 minit.

“Air sinki berwarna lazimnya berlaku semasa terputus bekalan air disebabkan gangguan bekalan air berjadual dan tidak berjadual.

“Insiden ini berlaku disebabkan aliran air dalam paip utama semasa bekalan air disambung semula dan sedimen yang termendap semasa paip kosong terampai semula seterusnya bergerak mengikut aliran air.

“Sedimen yang terampai ini menyebabkan bekalan air berubah warna,” katanya.

Kelmarin, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran bau menyebabkan 463 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang berdepan gangguan bekalan air.

Insiden itu berlaku kali kedua dalam tempoh tiga hari selepas insiden sama terjadi di LRA Sungai Semenyih pada Selasa lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here