Tengku Amir Shah nafi ada kaitan dengan pembangunan HSKLU

0
1

RAJA Muda Selangor menafikan dakwaan baginda mendapat keuntungan daripada keputusan membangunkan sebahagian kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang dinyah warta Mei lalu.

Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Syarikat Gabungan Indah Sdn Bhd mahupun pembangunan kawasan berkenaan.

“Berhubung isu HSKLU, Beta mengambil maklum bahawa terdapat beberapa golongan mempercayai bahawa Beta telah mendapat keuntungan daripada keputusan pembangunan di kawasan tersebut.

“Ingin Beta tegaskan disini bahawa Beta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Syarikat Gabungan Indah Sdn Bhd mahupun pembangunan tersebut,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Amir Shah mengakui terkesan dengan isu alam sekitar dan mengambil maklum kesan pembangunan kepada dunia seperti perubahan iklim serta yang tidak dapat dipulihkan.

“Kawasan hutan terutamanya hutan paya gambut memainkan peranan penting dan nadi utama dalam penyerapan karbon bagi memastikan kadar pemanasan global dapat diatasi.

“Hutan paya gambut juga merupakan habitat semula jadi bagi flora dan fauna dan jika habitat ini pupus, keseimbangan alam sekitar kita boleh terancam,” titahnya.

Beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam memikul tanggungjawab untuk memelihara dan memulihara tanah air.

“Kuatkuasakan undang-undang dan terus menjadi pelindung kepada komuniti setempat.

“Wujudkan komuniti lestari, prihatin, empati dan berpandangan jauh agar dapat memelihara alam sekitar. Rakyat Selangor tidak mahu merasa kehilangan khazanah permata ini.

“Selaku warga Malaysia semua pihak harus bersatu tenaga dalam memainkan peranan masing-masing untuk memelihara alam ini. Tebus kekhilafan lalu dengan menyelamatkan alam sekitar hari ini,” titahnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here