YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet paralimpik negara Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly yang menghadiahkan pingat emas buat negara di Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun hari ini.
Menerusi hantaran Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan pencapaian mereka sebagai membanggakan dan harus menjadi inspirasi kepada semua untuk mencapai kejayaan.
Mengulas kejayaan jaguh badminton para negara, Liek Hou, 33, baginda berdua menyifatkan pencapaian cemerlang itu bukti kemampuan negara melahirkan atlet berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” titah baginda berdua.
Baginda berdua juga mahu semangat perjuangan Abdul Latif untuk mencapai kilauan emas menjadi sumber
inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Khususnya para atlet di Malaysia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Liek Hou, 33, telah melakar sejarah sebagai pemenang emas sulung negara dalam acara badminton yang pertama kali dipertandingkan di Sukan Paralimpik dengan menundukkan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi, dengan kemenangan 21-17, 21-15 dalam aksi selama 50 minit.
Sementara itu, Abdul Latif, 24, berjaya mengekalkan emas yang dimenanginya lima tahun lalu di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.- Malaysiapost

