DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengakui tanggungjawab digalasnya sebagai Presiden Umno sejak lebih tiga tahun lalu, bukanlah sesuatu yang mudah.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ia tidak mudah kerana Umno tidak pernah gagal dalam sejarah politiknya selama berpuluh tahun untuk agama, bangsa dan negara.
Menurutnya, Umno mengharungi 14 pilihan raya umum (PRU), menang 13 kali dan kalah sekali pada 2018 berat untuk diterima.
“Pejam celik pejam celik sudah lebih tiga tahun sejak diri diamanahkan menggalas tugas sebagai Presiden Umno. Pantas sungguh masa berlalu meninggalkan sejarah dan cerita semalam menuju esok mencipta pengharapan.
“Namun kisah tentang sebuah kepercayaan dan keyakinan bertarikh 30 Jun 2018 segar dalam ingatan. Kisah kepercayaan majoriti ahli Umno memilih sosok ini bagi meneruskan dan mengetuai perjuangan mereka.
“Dan bersyukur ke hadrat ilahi tidak pernah sesekali insan kerdil ini terlupa lagi terabai terhadap keyakinan diberi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata sejak memegang tanggungjawab itu beliau sering bertanya kepada dirinya apakah yang harus dilakukan untuk parti ini bangkit selepas tewas PRU-14 angkara fitnah dan pembohongan.
“Maka telah disematkan dalam sanubari dengan penuh yakin dan istiqamah diri bahawa Umno tidak akan tenggelam.
“Insan ini akan pastikan Umno kekal relevan, menidakkan sindiran, ejekan dan tekanan yang mahu kita ke penghujung,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, bagi mereka yang tidak mengerti akan mengatakan sebaliknya tidak dirinya namun beliau tidak kisah dengan perkara itu.
“Kerana selagi Umno berada di landasan rakyat menuju kebangkitan terulung pada PRU-15 itulah yang utama,” katanya. – Malaysiapost

