MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) mendakwa selepas 64 tahun negara merdeka, Bumiputera masih dijajah blok kapitalis yang merencatkan setiap agenda kemajuan Bumiputera.
Setiausaha Agungnya Datuk Dr Hasan Mad berkata di Malaysia hampir keseluruhan sistem pemerintahan, kepimpinan dan tadbir urus negara masih dikuasai blok kapitalis dan sekutunya.
Beliau mendakwa, ada di antara blok kapitalis berkenaan yang bersuara lantang mahukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihapuskan sama sekali.
“Malah dalam komuniti Bumiputera itu sendiri masih ramai di kalangan pemerintah, pemimpin dan pentadbirnya masih bersekutu atau dikuasai blok kapitalis ini.
“Ramai diantara mereka ini sekalipun asalnya amat pro agenda Bumiputera, bila memegang sesuatu jawatan dalam kepimpinan, kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mereka memilih menjadi liberal untuk mudah baginya diterima bersekongkol dengan blok tersebut.
“Dulunya blok ini hanya di kalangan penjajah Barat dan sekutu dagang mereka di kalangan kaum India dan Cina saja, tapi kini blok kapitalis ini adalah versi tempatan, diterajui pemain tempatan di bawah navigasi blok Barat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mendakwa golongan berkenaan yang menjadi punca banyak agenda Bumiputera gagal dilaksanakan dengan berkesan hingga ke hari ini.
Menurutnya, banyak fakta boleh membuktikan sangkaan itu antaranya 13 resolusi utama Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama (KEB1) 1965 yang diperbaharui MPM semasa Kongres KEB 1 1965-2020, pada 1 Oktober 2020.
Hasan turut mempersoalkan mengapa Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) masih lesu menjalankan tugasnya, menyelaras pelaksanaan bagi memastikan agenda Bumiputera digariskan dalam DEB 1970 tercapai.
Beliau berkata, statistik semasa membuktikan ICU serta beberapa agensi pusat bertanggungjawab telah gagal kerana penerajunya masih dikawal blok kapitalis menguasai pemerintahan negara.
“Roh Bumiputera mereka juga diragui samada telah luntur atau kian kabur. Pada 1 Oktober ini MPM akan hasilkan rebiu genap setahun selepas Kongres KEB 1 1965-2020, untuk sama-sama ketahui, apa dah jadi sekalipun 13 resolusi utama itu.
“64 tahun Merdeka. Siapa yang merdeka? Bumiputera belum merdeka. Siapa jaga Bumiputera? Kita tanya kita,” katanya. – Malaysiapost

