SEBUAH stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) musnah dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Kopungit, di Kota Kinabalu, malam tadi.
Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, tiga kenderaan dan sebuah motosikal kakitangan KKM, serta tiga kenderaan orang awam turut tertimbus dalam kejadian itu.
“Kejadian berlaku malam tadi, bagaimanapun JBPM Sabah hanya menerima laporan kejadian itu jam 11.19 pagi tadi. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu. Tiada operasi yang dilakukan, hanya memantau dan mengambil maklumat di lokasi kejadian.
“Bomba telah menyampaikan maklumat kepada polis agar memaklumkan ketua kampung untuk mengarahkan penduduk mengosongkan rumah di kawasan sekitar sebagai langkah keselamatan,” menurut kenyataan itu.
JBPM Sabah memasang sawar di kawasan kejadian sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang lebih teruk selain memastikan orang ramai tidak memasuki kawasan tersebut.
“Pihak bomba juga menyarankan agar polis memaklumkan kepada pihak kejuruteraan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menganalisis kawasan tanah runtuh untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada 12.30 tengah hari,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Sinar Harian

