Akta Pemecatan Ahli Parlimen langkah progresif, tangani lompat parti

0
1

PEMUDA Umno menyifatkan penggubalan Rang Undang-undang pemecatan Ahli Parlimen yang diusulkan Datuk Seri Azalina Othman Said merupakan langkah progresif bagi membina negara yang lebih demokratik. 

Exconya Aizat Azam, berkata cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu, disambut baik, kerana Rang Undang-undang ini secara prinsipnya bertujuan untuk menangani isu lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.

Jelasnya, langkah ini adalah satu langkah ke arah yang betul dan perlu dilakukan dengan komprehensif.

“Justeru, pada pandangan saya, bagi menangani isu lompat parti, ‘recall election’ adalah cara yang lebih progresif hanya sekiranya undang-undang recall election ini digubal secara teratur dan menyeluruh. 

“Recall election merupakan satu langkah di mana mandat yang diberikan kepada seseorang Ahli Parlimen boleh dibatalkan oleh penduduk di sesuatu kawasan pilihan raya dengan cara memanggil suatu pilihan raya semula apabila Ahli Parlimen tersebut, antara lainnya, melompat parti atau menjadi Ahli Parlimen bebas (selepas ini dirujuk sebagai ‘undang-undang tersebut’),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau ingin menekankan bahawa bagi memperkenalkan undang-undang tersebut, enam perkara ini adalah penting dan mesti diberikan perhatian:

a) Peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara 10 dan 48 perlu dipinda terlebih dahulu dipinda sebelum undang-undang tersebut boleh diperkenalkan dan digubal;

b) Isu-isu keperlembagaan yang dibangkitkan dan dipertimbangkan dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v Nordin Bin Salleh & Anor [1992] 1 MLJ 697 harus diambil kira dalam penggubalan undang-undang tersebut.

c) Undang-undang tersebut mesti pemperuntukkan satu threshold yang jelas dan prosedur yang tidak begitu rumit bagi memudahkan akses kepada rakyat untuk menggunakan hak mereka di bawah undang-undang tersebut.

d) Undang-undang tersebut mesti dihadkan hanya bagi menangani isu lompat parti. Pencetus (‘trigger’) kepada penggunapakaian undang-undang tersebut mesti digubal dalam perkataan yang sangat jelas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau penyalahgunaan (‘abuse’) oleh mana-mana pihak di masa hadapan.

e) Satu garis masa yang pendek dan efektif bagi proses recall election di bawah undang-undang tersebut mesti diperuntukkan.

f) Isu kos bagi recall election mesti dibincangkan dan satu penyelesaian yang seimbang perlu diterima pakai.

Pada pandangan beliau, penggubalan undang-undang tersebut akan mengembalikan kuasa memilih Ahli Parlimen kepada rakyat dan merupakan satu langkah progresif ke arah membina negara yang lebih demokratik. 

“Ia juga merupakan satu langkah yang konsisten dengan prinsip ‘of the people, for the people, by the people’.

“Undang-undang tersebut memastikan bahawa wakil rakyat adalah bertanggungjawab secara berterusan kepada pengundi-pengundinya dan mandat yang diberikan boleh dibatalkan oleh rakyat sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peruntukan undang-undang tersebut,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau sedar bahawa proses penggubalan undang-undang tersebut akan mengambil masa, namun ianya langkah penting untuk bergerak ke hadapan. 

“Langkah ini nyata sekali akan memastikan kestabilan kepada mana-mana kerajaan yang mentadbir negara ini dan juga ketelusan di pihak Ahli Parlimen. 

“Saya menyokong penuh cadangan di atas dan saya mengajak semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik untuk berganding bahu dan menyokong cadangan tersebut,”  katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here