PENINGKATAN had statutori hutang kerajaan melebihi 60 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam senario negara ketika ini dilihat adalah tindakan yang wajar.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berpendapat ia sesuatu yang wajar, namun apa yang lebih utama ialah apa yang akan dibelanjakan dan bukan hanya bantuan tunai, tetapi perbelanjaan yang mampu merancakkan dan memulih ekonomi.
Menurutnya, bukan angka hutang yang perlu kita khuatir, tetapi sebaliknya, adakah hutang itu mampu menjana pertumbuhan tinggi atau tidak dan adakah rakyat menikmati keuntungan dari pertumbuhan itu.
“Dalam era Covid-19 sejak 2020, nisbah peratusan hutang ini meningkat di seluruh dunia. Kerana rata-ratanya, perbelanjaan kerajaan hanya mampu meminimakan impak Covid-191 kepada ekonomi dan rakyat masing-masing.
“Bantuan tunai, subsidi gaji, geran dan sebagainya. Dunia belum mampu kembali kepada angka pertumbuhan pra Covid-19, apatah lagi dengan sekatan pergerakan yang merencatkan perniagaan dan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, menghampiri penghujung 2021, Malaysia perlu mula membiasakan diri hidup bersama virus yang diklasifikasi sebagai endemik.
“Ke arah itu, diharapkan perbelanjaan kerajaan setelah peningkatan had statutori ini perlu lebih berani, luar kotak, dan menjurus kepada usaha jangka panjang dan bukan “plaster” semata-mata lagi.
“Belanja yang mampu menjana pekerjaan. Belanja yang mampu menjana pelaburan. Belanja yang mampu membantu pembukaan sektor-sektor ekonomi dengan selamat,” katanya.
Shahril berharap apabila Parlimen bersidang kelak tiada Ahli Parlimen yang terlalu obses tentang nisbah hutang kerajaan dan KDNK, sebaliknya lebih fokus berbahas dan memberi cadangan serta kritikan membina mengenai perbelanjaan yang wajar. – Malaysiapost

