Peraturan mesyuarat Dewan Negara, Dewan Rakyat ditambah baik

0
1

PERATURAN Mesyuarat bagi Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditambah baik, meliputi aspek perjalanan mesyuarat, displin ahli bagi memperkuatkan jawatankuasa pilihan yang telah dan bakal dibentuk.

Perkara tersebut diputuskan menerusi kenyataan bersama Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, ketika menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam.

Kenyataan itu berkata, tumpuan kepada agenda penambahbaikan adalah pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) serta mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.

“Ia bagi memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar dihayati, dihormati dan diamalkan agar kewibawaan Parlimen selaku badan legislatif tertinggi negara diperkasakan.

“Pada pertemuan tersebut, kesemua pihak telah membincangkan dan membuat kata sepakat mengenai agenda penambahbaikan struktur pentadbiran serta kerangka perundangan yang bersangkutan dengan peranan Parlimen Malausia.

“Demi memartabatkan dan mengukuhkan kedudukan Parlimen Malaysia sebagai sebuah cabang institusi kerajaan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu hari ini.

Pada masa sama, cadangan kepada langkah transformasi Parlimen tersebut adalah hak Parlimen dan akan digerakkan secepat mungkin sebelum diangkat kepada Kabinet untuk dinilai dan diluluskan.

Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, turut berbesar hati dengan komitmen serta buah fikiran yang diberikan oleh Wan Junaidi kepada agenda penambahbaikan dan cadangan pembentukkan semula Jawatankuasa Bersama  Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Jabatan Perdana Menteri.

“Sesungguhnya kami kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat amat menyambut baik dan akan memberikan sokongan padu langkah transformasi dan reformasi Parlimen yang akan diusahakan.

“Sebagai manifestasi kecaknaan untuk mendaulatkan demokrasi berparlimen dan prinsip pengasingan kuasa antara legislative, eksklusif dan perundangan negara dapat berfungsi dengan sebenarnya dan terus kekal terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here