17 individu sertai parti liar dicekup

0
1

SERAMAI 17 individu ditahan selepas terbabit dalam parti liar di sebuah residensi mewah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, semalam dan polis merampas sejumlah dadah. 

Dalam serbuan jam 11.55 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur itu, tangkapan membabitkan lapan lelaki dan sembilan wanita tempatan berusia 13 hingga 54 tahun. 

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif, berkata pemeriksaan yang dijalankan dalam premis mewah itu menjumpai dadah jenis pil ecstacy anggaran berat 10.73 gram dan bernilai RM464. 

“Polis turut menemui dadah jenis ketamin yang dianggarkan seberat 2.88 gram dan bernilai RM400. 

“Turut dirampas kunci dan kad akses premis tersebut, satu unit pembesar suara dan lampu laser,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati lapan daripada yang ditahan membabitkan empat lelaki dan empat wanita disahkan positif methamphetamine dan ketamin. 

“Siasatan awal mendapati penganjur parti liar ini adalah seorang wanita berusia 23 tahun, ianya bertujuan menyambut ulang tahun kelahirannya. 

“Polis mendapati antara yang terbabit adalah pelajar sekolah iaitu remaja lelaki berusia 13 tahun yang mengikut abangnya menyertai parti tersebut. 

“Selain itu terdapat juga seorang yang ditahan adalah wanita berusia 54 tahun yang telah mempunyai dua cucu,” katanya. 

Menurutnya, soal siasat awal mendapati premis berkenaan disewa dengan harga RM350 sehari dan tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung yang hadir.

Katanya, kesemua yang ditahan dikompaun RM2,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Pelan Pemulihan Negara 2021.

“Kes juga disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) (a) akta sama. 

“Pemilik kediaman dan penganjur boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 13(a) akta yang sama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here