Tragedi Gunung Jerai boleh berulang – Dr M

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tragedi kepala air dan banjir lumpur di Gunung Jerai baru-baru ini boleh berlaku lagi sama ada di kawasan itu sendiri atau di pergunungan lain di Malaysia.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ia disebabkan perubahan iklim yang mungkin adalah sebahagian ulangan perubahan planet ini selama berjuta tahun.

Katanya, perubahan iklim mungkin juga kerana kepanasan disebabkan kehidupan manusia yang sekarang berjumlah 8 bilion.

“Setiap seorang dari kita memanas iklim hanya dengan kita bernyawa. Tetapi kita juga membakar semasa masakan, untuk panas kesejukan musim sejuk sekeliling kehidupan kita.

“Demikian juga binatang yang mengeluar gas. Jumlah binatang ternakan lebih dari jumlah manusia. Demikian juga binatang liar.

“Di tempat-tempat tertentu kebakaran hutan yang meluas, yang tidak dapat dipadam berminggu tetap memanas iklim. Di Malaysia juga kita sudah rasai kenaikan suhu,” katanya menerusi tulisan dimuatnaik di laman blognya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata apabila suhu naik, salji menjadi cair dan kawasan yang ditenggelami air membesar.

Pada masa sama, katanya, Kepanasan matahari menyebabkan air di permukaan bumi jadi wap yang naik tinggi dan menjadi titisan air dan awan.

“Apabila banyak wap dan suhu turun kerana tingginya awan, wap menjadi air dan turun ke bumi sebagai hujan. Lebih tinggi suhu, lebih banyak awan dan lebih lebatlah hujan. Sebab itu hujan di Gunung Jerai menjadi begitu lebat, mencairkan lumpur dan turun dengan pantas sebagai air terjun.

“Kita di Malaysia bernasib baik. Hujan lebat sepanjang masa membasahkan bumi dan menghalang kebakaran. Pokok-pokok hutan menstabilkan bumi dan menjerap air. Kepanasan juga diserap oleh pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan.

“Tetapi walaupun lebih selamat malapetaka seperti keruntuhan Gunung Jerai masih boleh berlaku di mana-mana sahaja. Oleh itu bersedialah kita untuk aneka jenis malapetaka di masa hadapan,” katanya.

Tragedi kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu bukan saja menyebabkan kerosakan infrastruktur serta kediaman penduduk sekitar, malah mengakibatkan enam nyawa terkorban. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here