PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) kesal apabila tidak lagi disenaraikan sebagai pasukan pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor bersama beberapa NGO lain.
Pengerusi Eksekutif SPJM, Rafie Zainal berkata sejak awal kes kematian Covid-19 tahun lalu, pihaknya terlibat dalam pengurusan jenazah di seluruh negara.
Pada masa sama, katanya kerjasama baik antara pihak jabatan agama negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa dijaga.
Selain itu, beliau berkata setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya dan anggota skuad sentiasa memastikan pengurusan jenazah berjalan lancar dan sempurna.
“Pada 17 Ogos 2021, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru sahaja melantik SPJM secara rasmi sebagai pasukan pengurusan jenazah di bawah JAIS. Seramai 20 anggota skuad kami diberi tauliah khas pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.
“Di peringkat pelaksanaan tugas, SPJM dan kakitangan JAIS tiada masalah membantu dan bekerjasama antara satu sama lain sama ada di hospital mahupun tanah perkuburan.
“Namun dukacitanya apabila semalam kami menerima satu surat pekeliling JAIS bertarikh 24 Ogos 2021 berkenaan ketetapan baru pengurusan jenazah Covid-19 di hospital-hospital dan tanah perkuburan di Selangor.
“Dalam masa seminggu sahaja pihak JAIS mengeluarkan dua kali perubahan ketetapan untuk menguruskan jenazah Covid-19,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook SPJM.
Raefie berkata dalam senarai surat pekeliling tersebut dinyatakan senarai NGO-i bertauliah JAIS untuk mengurus jenazah pesakit Covid-19 iaitu empat daripada NGO dan satu pasukan lantikan daripada masjid dan surau di bawah JAIS.
Namun katanya, amat menghairankan apabila nama SPJM tidak dinyatakan bersama dalam surat pekeliling itu dan digugurkan tanpa alasan munasabah sedangkan pasukan itu setiap hari terlibat dalam pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Saya ada menghubungi JAIS bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu ini. Jawapan diberikan sangat tidak memuaskan hati. Pihak JAIS mendakwa ada isu (negatif) berkenaan pelantikan SPJM. Namun bila ditanya apakah isunya mereka tidak dapat menjawab.
“Pihak berkenaan meminta SPJM menghantar surat rasmi kepada JAIS bagi mendapatkan jawapan isu ini. Sedangkan sebelum ini dua kali SPJM menghantar surat hasrat untuk bekerjasama dengan JAIS melalui emel dan bertulis,” katanya.
Beliau memaklumkan, SPJM ketika ini memiliki hampir 20 aset jentera termasuk sebuah trak khas Covid-19 dan amat sayang sekali jika ia tidak dapat digunakan sepenuhnya.
“Kami bukan hendak mengambil alih tugas JAIS, tetapi hanya menawarkan kerjasama untuk membantu menguruskan jenazah di Selangor. Adakah wujud agenda peribadi atau kepentingan individu dalam pengurusan jenazah di bawah JAIS,” katanya.
Beliau seterusnya berharap pihak JAIS khususnya Pengarahnya sudi menerima pelawaan untuk pihak SPJM dan rakan NGO lain bertemu dan mencari penyelesaian terbaik. – Malaysiapost

