HOSPITAL swasta sedia membantu melaksanakan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja antara 12 hingga 17 tahun apabila diminta oleh kerajaan.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr Kuljit Singh berkata sebilangan besar hospital swasta di Lembah Klang telah menghentikan program vaksinasi diselaraskan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Protec Health Sdn Bhd sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun, katanya, hospital swasta terpilih akan dapat beroperasi semula dalam masa terdekat, malah beberapa hospital swasta telah memulakan vaksinasi menggunakan satu jenama vaksin Covid 19 untuk populasi dewasa.
“Terdapat beberapa pilihan vaksinasi yang dapat membantu ibu bapa agar anak mereka mendapat suntikan iaitu dibuat di sekolah itu sendiri sekiranya masalah keselamatan diambil kira, tetapi lebih baik di hospital awam atau swasta.
“Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega mungkin tidak kondusif untuk kanak-kanak melainkan tiada pilihan lain yang sesuai. Klinik keluarga dan pengamal am adalah satu pertimbangan yang baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Kuljit menambah, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyebut bahawa ada kemungkinan Covid 19 akan dianggap sebagai endemik pada akhir Oktober kerana 80 peratus penduduk akan diberi vaksin.
Oleh itu, katanya, adalah mustahak untuk melengkapkan vaksinasi pada usia remaja dan beberapa hospital swasta bersedia menyertai program tersebut.
“Kemungkinan komplikasi vaksin pada remaja harus disahkan oleh pihak berkuasa dengan data yang diperoleh dari pengeluar vaksin dan menerbitkan kajian ilmiah secepat mungkin untuk mengurangkan rasa takut kalangan ibu bapa dan doktor.
“Jenis vaksin yang sesuai untuk kumpulan kanak-kanak ini juga penting agar kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang mengambil bahagian akan membuat pengaturan yang diperlukan,” katanya lagi.
Beliau berkata, pihaknya apabila wabak itu berkurang di Malaysia dengan jumlah kes yang lebih sedikit, ada pelan strategik untuk vaksinasi Covid-19 untuk kedua-dua sektor kesihatan awam dan swasta agar kebolehaksesan vaksin berjalan lancar.
“Harapan kami di hospital swasta adalah memperoleh pelbagai jenis vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada orang ramai yang mencari perkhidmatan kami tetapi pada masa sama semestinya ada kemudahan kesihatan awam yang tersedia bagi mereka untuk memilihnya,” katanya. – Malaysiapost

