BELUMPUN mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sudah terpalit dengan kontroversi apabila wujud dakwaan beliau cuba menyelamatkan Perak FC daripada tersingkir ke saingan Liga Premier.
Dalam satu video tular di media sosial, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) itu dilaporkan berkata beliau akan berbincang dengan Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Katanya, ia untuk menambah jumlah pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super musim depan, sekali gus menyelamatkan Perak FC daripada beraksi di Liga Premier.
“Pertama, Kementerian Belia dan Sukan tak ada kuasa nak buat apa-apa terpulang pada FAM tapi kita kawan baik dengan MFL.
“Saya dengan CEO baru ini, Stuart (Ramalingam) ni kawan baik dan saya dengan Datuk Hamidin (Mohd Amin) pun saya boleh cakapkan.
“Baru-baru ini saya ada bincang dengan Datuk Hamidin dan Stuart memang berpandangan nak naikkan kepada 16 pasukan, ini selari dengan apa yang FIFA tetapkan,” katanya dalam satu rakaman video.
Ahmad Faizal berkata, jika ikut peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), maka terselamat pasukan Perak FC daripada tersingkir.
Namun, katanya, sekiranya perancangan ini tidak berjaya justeru pasukan tersebut terpaksa menerima hakikat.
“Selama ini kita tak ikut FIFA mungkin mereka terpaksa buat begitu. Itu berlaku selamatlah negeri Perak, jika sebaliknya kita sakit kepala sikitlah kerana belum pernah berlaku lagi.
“Masalah Perak FC 2 akan turun lagi, jadi tidak boleh berada dalam satu Liga. Itu masalahnya. Kita doakanlah.. Insya- Allah saya akan cakap dengan Datuk Hamidin dan Stuart.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataan menafikan bahawa terdapat perbincangan antara dirinya serta Presiden FAM bersama Ahmad Faizal berkaitan perkara berkenaan.
“Merujuk kepada satu video yang telah tular di media sosial pada hari ini, FAM ingin menyatakan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibincangkan langsung secara rasmi atau tidak rasmi oleh Persatuan ini, sama ada menerusi Presiden atau Setiausaha Agungnya dengan mana-mana pihak lain.
“FAM juga ingin memaklumkan bahawa segala keputusan atau ketetapan bagi jumlah pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super dan Liga Premier serta penentuan jumlah pasukan yang turun dan naik bagi kedua-dua liga berkenaan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Malaysian Football League (MFL) dan ahli-ahli lembaga pengarahnya,” katanya. – Malaysiapost

