Polis Johor musnahkan objek bahan letupan

0
1

SATU unit ‘marine location marker’ (MLM) yang mengandungi bahan letupan dimusnahkan Unit Pemusnahan Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Teluk C, Tanjung Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

Polis Johor berkata bahan letupan jenis piroteknik SC-25 MLM berukuran panjang 45 sentimeter (cm) dengan ukur lilit 25cm seberat 1.7 kilogram ditemui dalam keadaan sempurna dan dimusnahkan pada jam 11.30 pagi.

Katanya, MLM ini dipercayai digunakan bagi tujuan penandaan posisi secara spesifik pada permukaan laut selain daripada digunakan sebagai sumber cahaya semasa tugas mencari dan menyelamat di laut lepas.

“Piroteknik ini mengandungi bahan kimia fosforus yang boleh membakar pada suhu yang sangat tinggi apabila terdedah kepada udara.

“Kebiasaannya ia akan dilepaskan ke permukaan laut dari udara (helikopter atau pesawat) di mana piroteknik ini akan mengeluarkan api serta asap putih kira-kira 20 minit sebelum tenggelam ke dasar laut.

“Namun terdapat beberapa kemungkinan piroteknik ini tidak terbakar sepenuhnya akan kekal terapung di permukaan laut,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pihak UPB IPK Johor menjalankan pembersihan di sekitar kawasan itu memastikan tiada objek lain sebelum tindakan pemusnahan dilakukan.

Katanya, tindakan pemusnahan kemudiannya dijalankan dengan menggunakan teknik ‘high order’ melalui kaedah elektrik.

“Orang awam diminta tidak menyentuhnya
jika terjumpanya, ia tidak boleh disimpan atau diletak di dalam tempat terkurung termasuk di dalam kenderaan kerana boleh terbakar sendiri.

“Kami menyeru kepada orang ramai sekiranya menjumpai objek mencurigakan, dipercayai bom atau bahan letupan, sila lapor segera polis berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here