LEBIH 235,000 atau 20 peratus rakyat Pahang yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 masih belum mendaftar, kata Pengarah kesihatan negeri itu.
Datuk Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan setakat ini lebih 50 peratus golongan dewasa sudah menerima dua dos vaksin dan perkembangan itu menberi kesan apabila jumlah jangkitan menunjukkan penurunan.
Menurutnya, walaupun 839 kes direkodkan hari ini disifatkan tinggi namun purata mingguan turun dalam tempoh sembilan minggu ini.
“Ini dilihat seiring peningkatan liputan vaksinasi di mana hingga ke hari ini pencapaian Pahang untuk dos kedua dewasa adalah 50.1 peratus,” katanya di Facebook.
Namun katanya, masih ada 20 peratus atau 235,000 penduduk Pahang yang layak menerima vaksin Covid-19 belum berdaftar dalam aplikasi MySejahtera.
“Ayuh warga Pahang. Daftar segera untuk mendapatkan vaksin. Mendapat suntikan vaksin adalah salah satu usaha dan ikhtiar kita untuk mengawal Covid 19.
“Sesungguhnya Allah jua Maha Penyembuh tapi kita mesti berusaha untuk kesembuhan itu,” katanya. – Malaysiapost

