LIMA wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) yang menawarkan perkhidmatan seks ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sarang pelacuran di Taman Usahawan, Kepong, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata serbuan jam 4.50 petang itu dijalankan sepasukan polis daripada Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Menurutnya, selain lima wanita warga asing berusia 23 hingga 42 tahun itu, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai pelanggan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Modus operandi kegiatan ini berselindung di sebalik rumah pangsapuri persendirian dan dipercayai baru dua hari beroperasi.
“Hasil siasatan awal mendapati bayaran RM160 dikenakan untuk setiap perkhidmatan seks yang ditawarkan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, temu janji hanya dibuat melalui aplikasi WeChat dan polis sedang mengesan pemilik rumah bagi membantu siasatan.
“Polis juga merampas peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pelacuran antaranya tuala mandi, tisu, kondom, minyak urut, lad akses dan wang tunai.
“Kesemua yang ditahan kini direman 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran,” katanya. – Malaysiapost

