Mengambil semangat ‘Keluarga Malaysia’, PH cadang reformasi pendidikan

0
3

Menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 20 Ogos 2021, melalui Kenyataan Media Istana Negara yang menyeru agar semua ahli Dewan Rakyat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha untuk menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara,

JAWATANKUASA Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mencadangkan kepada kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beberapa langkah untuk mereformasikan sistem pendidikan termasuk bidang pengajian tinggi.

Menerusi kenyataan hari ini, JKPPH berkata bertitik tolak dari semangat ‘Keluarga Malaysia’ digagaskan Perdana Menteri semasa ucapan sulungnya baru-baru ini, maka inilah masa yang sesuai segala cadangan dikemukakan dapat diperhalusi.

Pada masa sama, katanya, kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli Dewan Rakyat harus digembleng ke arah mewujudkan sebuah sistem pendidikan lebih mapan dan relevan dalam tempoh yang mencabar ini.

Reformasi Pendidikan Dasar yang dicadangkan JKPPH ialah:

a) Merangka satu pelan besar (master plan) Pendidikan merangkumi pendidikan dasar, pendidikan tinggi dan pendidikan TVET, serta perancangan jangka masa panjang strategik, mapan dan telus untuk pendidikan selepas pandemik berakhir.

b) Penubuhan ‘Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan’ (MTPK) dianggotai para pemegang taruh, terutama wakil NUTP, UNICEF, WHO, KKM, pakar-pakar Pendidikan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), badan-badan pengkaji, NGO Pendidikan, Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, terutama yang pernah bergelumang dalam sektor pendidikan.

c) Pengurusan berkaitan penutupan dan pembukaan sekolah sewaktu Covid-19 hendaklah diturunkan (decentralized) kepada peringkat sekolah dan PPD dengan persetujuan ibu bapa. Sebarang keputusan yang dibuat juga hendaklah berdasarkan sains dan data dengan dipandu garis panduan oleh WHO. KPM hendaklah mempunyai pakar rujukan utama.

d) Kebenaran untuk Ahli Parlimen dan ADUN tanpa kira pihak kerajaan atau pembangkang untuk terlibat dengan pihak sekolah dan institusi Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah dan jabatan Pendidikan Negeri di kawasan masing-masing untuk membangunkan pendidikan serta infrastruktur dan bukan untuk tujuan politik.

e) Melaksanakan Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara 2019 terutama berkaitan Model Pendidikan Baharu. Ia perlu dibawa ke Kabinet untuk diluluskan dan dilaksanakan selari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

f) Menghidupkan semula Jawatankuasa Dataraya (Big Data Committee) di KPM agar segala keputusan, dasar dan Pendidikan dapat dirumuskan dan dipandu oleh data, sains, deep analytics dan kepandaian buatan (artificial intelligence).

g) Pemberian insentif kepada guru di dalam bentuk one-off atau pengecualian cukai atas usaha dan wang ringgit yang mereka gunakan sepanjang PdPR.

h) Pelaksanaan semula ‘Program Sarapan Pagi’ percuma kepada setiap murid di sekolah seperti mana pernah direncanakan pada tahun 2019 apabila sekolah dibuka semula.

Reformasi Pengajian Tinggi
a) Penubuhan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546).

b) Demi menjamin kewibawaan dan kredibiliti institusi pengajian tinggi, keanggotaan Lembaga Pengurusan (LPU) Universiti Awam juga hendaklah bebas lantikan politik dan dihadkan hanya dua penggal bagi setiap lantikan.

c) Imej ahli akademik Malaysia yang tercalar kerana isu penerbitan di jurnal pemangsa (predator Journals) dan isu plagiarisme perlu ditangani secara sistemik. ‘Jawatankuasa Integriti Penyelidikan Kebangsaan’ yang pernah dicadangkan oleh Majlis Sains Negara (2017) perlu diwujudkan segera.

d) Akta 605 perlu dipinda untuk menjamin kebebasan akademik dan menjaga integriti para akademik sepertimana pernah dibawakan pada tahun 2019, ia hanya perlukan kelulusan Perdana Menteri tanpa perlu dibawa ke Parlimen.

e) Meneruskan usaha oleh Jawatankuasa Pemansuhan AUKU untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Akta 30) dan digantikan dengan undang-undang lebih komprehensif bersekali dengan akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555);

f) Meneruskan usaha penubuhan Kesatuan Pelajar di semua IPT (Institut Pengajian Tinggi).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here