Tiada ruang lagi untuk percubaan atau ‘try and error’ – Najib

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata fokus, perancangan rapi dan kepimpinan yang tepat amat penting dan diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, kerajaan perlu memberi tumpuan dalam membuat perancangan rapi bagi menggelak negara mengalami lebih banyak kerugian.

“Kemajuan dan kemakmuran Malaysia bukan sekadar ‘right place at the right time’, dan tiada juga ruang untuk percubaan atau ‘try and error’, fokus perancangan rapi dan kepimpinan yang tepat amatlah penting dan diperlukan setiap masa.

“Sudah lebih setahun kita berdepan pandemik Covid-19. Sepanjang masa ini, kita sering kali ketinggalan dari segi langkah-langkah menguruskan ancaman yang dihadapi.

“Malah kita menghadapi pelbagai kekurangan dari segi pelaksanaan dan dasar sehingga apa yang kita lihat dan alami hari ini,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Tambah Najib, kini lebih 1.6 juta kes jangkitan Covid-19 dan 15,000 nyawa terkorban di Malaysia.

“Mengapa kita sampai ke tahap ini.. jadi saya ulang apa yang sampaikan tadi.. fokus, perancangan rapi dan kepimpinan yang tepat amatlah penting dan diperlukan pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia kini berdepan cabaran lebih besar setelah pelbagai perintah pergerakan dan sekatan ekonomi berpanjangan dilaksanakan.

Katanya, sejumlah besar simpanan rakyat iaitu peniaga dan syarikat telah digunakan bagi kelangsungan hidup.

“Kita perlu mengambil kira aspek ini dan pertimbangan lain termasuk ancaman Covid-19 yang berterusan dalam perancangan ekonomi seterusnya.

“Saya bimbang memikirkan aspek kebajikan rakyat, dan ekonomi kita dalam keadaan sebegini. Malaysia menghadapi cabaran besar dan semoga dengan fokus, perancangan rapi dan kepimpinan yang tepat akan dapat memulihkan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here