KILANG-kilang seharusnya menyumbang kepada percambahan ekonomi dan bukan pusat penyebaran Covid-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu Perdana Menteri menegaskan semua pemilik kilang yang mempunyai pekerja asing agar menjadikan premis mereka sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).
“Saya juga telah berjumpa dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan supaya pekerja asing tidak lagi perlu beratur dan menyebabkan kesesakan di PPV.
“Sebaliknya hanya mendapatkan vaksin di tempat mereka bekerja,” kata Perdana Menteri menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Ismail Sabri berkata pendirian kerajaan adalah jelas dan tegas bahawa sesebuah kilang itu hanya dibenarkan untuk beroperasi semula setelah mencapai 80 peratus kadar vaksinasi.
“Pemberian vaksin secara pandu lalu juga akan dipertingkatkan dalam masa terdekat supaya rakyat tidak perlu menunggu lama, cukup sekadar 15 minit dalam kereta dan boleh terus dapatkan dos suntikan,” katanya lagi.
Sebelum ini beberapa PPV di sekitar Lembah Klang sesak dengan kehadiran warga asing yang mahu mendapatkan suntikan vaksin termasuk yang datang dari luar ibu negara dan Selangor.
Kesesakan itu menimbulkan kebimbangan ramai kerana boleh menjadi punca kepada penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

