SELAIN vaksinasi yang dipergiatkan, rakyat masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak penularan Covid-19 daripada terus meningkat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri memberi contoh, kes meningkat di Perlis disebabkan aktiviti merentas negeri, begitu di Labuan walaupun lebih 90 peratus populasi dewasa divaksin namun kes tetap berlaku disebabkan aktiviti sama.
Sehubungan itu katanya, walaupun telah lengkap menerima vaksinasi, jangkitan Covid-19 masih boleh berlaku jika tiada pematuhan SOP.
“Individu mendapatkan vaksin tidak bermakna tidak dijangkiti Covid-19 cuma kesannya agak berkurangan mungkin mereka (cuma dijangkiti) tahap 1 dan 2, tidak sampai ke tahap 4 dan 5.
“Tetapi mereka masih boleh dijangkiti jadi untuk menggelakkan jangkitan wabak itu, kita mesti patuh kepada SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Justeru, sesiapa yang patuh kepada SOP, Insya-Allah kita dapat elak jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan penerima ke sejuta dos vaksin Astra Zaneca di PPV Mega World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini. – Malaysiapost

