Gelaran Datuk Seri tak dapat, duit pula lesap

0
1
kesihatan mental. Kred: Amal Malaysia

HARAPAN seorang pengarah syarikat untuk mendapat gelaran Datuk Seri dan tanah kurnia tidak kesampaian, malah sebaliknya kerugian lebih RM400,000 akibat ditipu tiga individu dalam urusan mendapatkan gelaran berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata lelaki berusia 33 tahun itu menyedari diperdaya selepas mendapati akaun bank digunakan suspek adalah akaun syarikat tidak berdaftar.

“Kes berlaku pada 28 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan memaklumkan Istana Negara akan mengurniakan darjah Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah kurnia berkeluasan lebih lima ekar (2.02 hektar).

“Pada hari sama, mangsa menyerahkan salinan maklumat syarikat dan butiran peribadi kepada individu terbabit di sebuah restoran berhampiran Pintu 2 Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada 6 April lalu mangsa diarah membuat pembayaran RM9,400 ke dalam satu akaun bank diberikan suspek.

“Kemudian, antara 30 April hingga 17 Jun lalu, mangsa telah melakukan empat transaksi berjumlah RM247,000 ke akaun bank lain yang juga diberikan suspek.

“Mangsa turut menyerahkan RM150,000 secara tunai kepada suspek,” katanya.

Mohd Mahidisham berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa mengesyaki sesuatu lalu membuat semakan ke atas akaun bank diberikan dan mendapati ia atas nama syarikat tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan suspek dan menasihatkan orang ramai berhati-hati serta menggunakan saluran betul dalam urusan mendapatkan anugerah atau gelaran dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran diberikan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here