SERAMAI tiga individu dipercayai ahli sindiket penipuan tawaran pekerjaan dalam talian ditahan di sebuah kondominium di Taman Desa Skudai, Johor Bahru, kelmarin.
Penahanan suspek berusia 21 hingga 27 tahun itu dibuat selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dengan kerjasama Jabatan Ehwal Komersial (CAD) Polis Singapura, melakukan serbuan dan pemeriksaan di kediaman tersebut yang disyaki dijadikan pusat operasi sindiket berkenaan.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata susulan serbuan itu, pihaknya merampas dua komputer riba, tujuh telefon bimbit, satu tablet, 12 kad mesin juruwang automatik (ATM), satu jam tangan, dua router, dua token perniagaan dan beberapa dokumen.
Katanya, berpandukan rampasan yang dilakukan, sindiket itu dipercayai mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis di Singapura membabitkan kerugian SGD$690,000 (RM2.1 juta) dan satu laporan di Malaysia (RM21,700).
Jelasnya, tiga suspek berperanan memindahkan wang hasil penipuan daripada akaun keldai ke dalam akaun e-wallet diberi pihak atasan sindiket.
“Mereka ditugaskan membuat pembelian cryptocurrency (wang kripto) dan menerima komisen 9.2 peratus dengan nilai anggaran SGD$600 (RM1,870) sehari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, kaedah operasi sindiket adalah menawarkan peluang kerja sebagai ejen syarikat membeli barang diiklankan melalui platfrom e-dagang menggunakan media sosial seperti Instagram dan Facebook sejak Jun lalu.
“Pembelian itu didakwa untuk menaikkan rating dan nilai jualan syarikat berkaitan manakala pendapatan harian dijanjikan antara RM200 hingga RM300.
“Mangsa berminat akan menghantar mesej melalui WhatsApp mengandungi pautan untuk barangan perlu dibeli.
“Bagi setiap barang, mangsa dibayar semula nilai barang itu dengan tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus dan proses pembelian serta bayaran semula berulang dimulakan dengan barang murah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, bayaran tidak dilakukan apabila mangsa membeli barang mahal atas alasan masalah pemindahan wang.
Katanya, mangsa kemudian diminta membuat bayaran ke dalam akaun keldai kononnya sebagai yuran pemprosesan, penalti cukai dan tukaran wang asing.
“Mangsa sedar ditipu apabila wang dijanjikan tidak diterima walaupun mereka membuat pembayaran.
“Justeru, usaha mengesan saki baki sindiket masih bebas sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Singapura,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Pencegahan Jenayah 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).
Dalam pada itu, Mohd Kamarudin memaklumkan pihaknya menerima 164 laporan berkaitan tawaran kerja ejen jualan platform e-dagang membabitkan kerugian RM2.4 juta, sejak awal tahun ini hingga 12 Julai lalu.
“Kaedah tawaran menggunakan modus operandi sama seperti sindiket yang ditumpaskan.
“Kita kesan ada kerjasama dengan sindiket antarabangsa dan turut menipu mangsa dari negara jiran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam untuk sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya supaya tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan.
“Jangan klik dan muat turun kandungan pada pautan tidak diketahui sumbernya.
“Salurkan maklumat kepada polis jika mendapati wujud laman sesawang mempromosi aktiviti disyaki penipuan,” katanya. – Malaysiapost

