Malaysia disaran segera adakan sidang OIC bincang krisis Afghanistan

0
1

KERAJAAN Malaysia disaran segera mengambil inisiatif memanggil negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan sidang atau mesyuarat khas berhubung krisis di Afghanistan sekarang.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata Malaysia sebagai negara Islam berwibawa dan berkecuali mempunyai pengaruh tersendiri untuk membangunkan konsensus OIC dalam perkara berkaitan masa depan Afghanistan.

Menurutnya, BN memandang serius situasi dan perkembangan terkini yang sedang berlaku di negara berkenaan.

Beliau berpendapat, tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan negara itu dalam keadaan tidak terancang dan kegagalan kerajaan Afghanistan untuk mempertahankan kedudukan menyebabkan keselamatan negara itu rapuh dan terjejas.

“BN menyeru agar kerajaan berhubung dengan perwakilan Taliban di Doha, Qatar untuk membangunkan komunikasi awal.

“Ini perlu dilakukan hanya dengan satu tujuan iaitu memudahkan penyelarasan bantuan kemanusiaan antarabangsa disalurkan kepada penduduk Afghanistan, jika keadaan mendesak dan memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama BN berpendirian bahawa sebarang pengiktirafan ke atas Taliban hanya boleh dipertimbangkan selari dengan pendirian masyarakat antarabangsa.

“Kerajaan Malaysia haruslah mengikut lunas dan prinsip-prinsip hubungan antarabangsa yang dipegang selama ini dalam mengiktiraf mana-mana kerajaan atau rejim dan ia tidak terkecuali dalam kes Taliban.

“Semoga keadaan keselamatan di Afghanistan pulih kembali dan negara itu berpeluang membangun dengan akan dan sejahtera semula,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here