AHLI Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata beliau berharap Kabinet baharu mampu menjadi pasukan terbaik untuk rakyat dan negara.
Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu, berkata beliau turut mengucapkan tahniah atas pembentukan Kabniet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya rakamkan ucapan tahniah di atas pembentukan barisan kabinet oleh Perdana Menteri Malaysia.
“Harapannya pasukan ini akan melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat kerana itulah yang ditunggu oleh semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu juga menzahirkan kesyukuran kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui kerajaan.
“Saya pastinya bersyukur kerana Umno BN kembali menerajui Kerajaan. Dan saya dapat sedikit menyumbang hingga Umno kembali menerajui serta membentuk kerajaan.
“Tahniah kepada semua. Jaga rakyat kerana ini keutamaannya. Kepada Allah kita berserah. Kerana Dia yang mengatur semuanya. Alhamdulillah,” katanya.
Sebelum ini, Shamsul Anuar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 3 Ogos lalu.
Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keputusan dan pendirian Umno.
Hari ini, Ismail Sabri ketika mengumumkan Kabinet baharunya melantik Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli. – Malaysiapost

