PELANTIKAN Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dalam Kabinet baharu kerajaan Pusat disifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada Umno Sabah.
Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, berkata beliau berbangga dan bersyukur dengan pelantikan itu serta berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi kepercayaan kepada Mohamad.
“Umno Sabah cukup berbangga dan bersyukur atas pelantikan ini dan secara langsung mengiktiraf Umno Sabah di peringkat persekutuan. Terima kasih Perdana Menteri.
“Buat Datuk Mohamad Alamin, tahniah dan selamat berkhidmat untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan ringkas berhubung pelantikan Mohamad sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II.
Mohamad adalah antara enam pemimpin dari Sabah, masing-masing dua menteri dan empat timbalan menteri yang dilantik membarisi Kabinet baharu kerajaan Pusat pimpinan Ismail Sabri.
Sebelum ini, Umno Sabah tidak mempunyai wakil dalam Kabinet pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika ini Umno Sabah mempunyai dua kerusi Parlimen iaitu Kimanis yang disandang Mohamad dan Kinabatangan yang disandang Bung Moktar.
Mohamad yang juga Ketua Umno Kimanis memenangi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Januari tahun lalu.
Terdahulu, media melaporkan seramai 16 menteri serta timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak diumumkan sebagai sebahagian anggota kabinet baharu.
Ia sekali gus mewakili 23 peratus daripada jumlah keseluruhan pengumuman senarai kabinet yang diumumkan Ismail Sabri hari ini. – Malaysiapost

