SYUKUR Takiyuddin bukan lagi menteri undang-Undang. Wan Junaidi sudah tentu pilihan yang jauh lebih baik, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.
Menurutnya, pelantikan Datuk Wan Junaidi Jaafar sebagai Menteri Undang-undang menggantikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai pilihan tepat, kerana sebelum ini Takiyuddin telah mengelirukan Dewan Rakyat yang menyebabkan Yang di Pertuan Agong murka terhadap perbuatannya itu.
Bagaimanapun, wakil rakyat DAP itu tetap kecewa apabila Datuk Seri Azalina Othman Said tidak dipilih membarisi jemaah menteri Kabinet kerajaan baharu ini.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri yang tidak melantik Azalina menggalas sebarang portfolio dalam Kabinetnya.
“Kanak-kanak tidak akan mempunyai jurucakap yang boleh dipercayai. Bagaimana Azalina boleh terkecuali (dalam Kabinet),” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika era Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Jemaah Menteri Ismail tidak jauh berbeza dengan Muhyiddin Yassin.
“Komposisi kerajaan yang sama, tak nampak apakah boleh berlaku perubahan bila ahli politik yang sama hanya bertukar pejabat di Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil melahirkan rasa terkejut kerana Azalina tidak tersenarai dalam Kabinet baharu Perdana Menteri ke-9.
Malah, Fahmi yang kecewa berharap Ahli Parlimen Pengerang itu dapat dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat bagi memastikan sistem semak dan imbang yang lebih baik.
“Saya terkejut Azalina tidak tersenarai, tapi berharap beliau akan diberi peluang mengambil alih sebagai speaker Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Malaysiapost

