Zahid minta Speaker jawab isu surat tular

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Speaker Dewan Rakyat menjawab dakwaan berhubung status terkini sokongan Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri, agar dapat merungkai tanda tanya bagi persoalan tersebut.

Katanya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun seperti dilapor media enggan mengesahkan beliau telah memaklumkan kepada Istana Negara bahawa hanya 100 Ahli Parlimen kini menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan laporan terbabit, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah ditanya oleh Istana Negara tentang status terkini bilangan Ahli Parlimen yang masih menyokong kerajaan, namun enggan mengesahkannya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, meskipun tidak menjawab soalan itu adalah hak beliau, namun persoalan itu amat penting untuk diketahui.

“Amat penting bagi memastikan sistem demokrasi negara tidak dalam keadaan dicabuli, iaitu Malaysia sedang ditadbir oleh kerajaan tidak sah yang berlakon seolah-olah masih ada majoriti. Jika itu berlaku bermakna negara sedang ditipu.

“Ia boleh memberi implikasi terhadap pentadbiran negara termasuk dalam aspek dasar dan polisi yang dibuat oleh kerajaan tidak sah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata, situasi itu merupakan suatu ancaman serius terhadap sistem demokrasi, kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

“Sebab itu Pemuda Umno membuat laporan polis berkenaan keabsahan status Perdana Menteri mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, berdasarkan surat tular itu, Azhar didakwa memaklumkan kepada Istana Negara bahawa Muhyiddin kini hanya memiliki 100 sokongan di Parlimen.

Surat kepada Istana Negara itu dikatakan sebagai menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan sokongan terhadap kerajaan, selain bagi mendapatkan status terkini bilangan Ahli Dewan Rakyat yang menyokong kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here