Kerajaan PN sudah tinggal sejarah – Anwar

0
1

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang memimpin negara hari ini sudah menjadi sejarah kerana terbukti telah kehilangan majoriti sokongan Ahli-Ahli Parlimen, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin jika faham demokrasi serta taat kepada institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong, maka beliau harus meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Yang (kerajaan) ada sekarang ini sudah menjadi sejarah kerana terbukti Muhyiddin hilang majoriti.

“Kalau dia (Muhyiddin) faham Perlembagaan, kalau dia faham demokrasi dan taat kepada institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong, dia harus meletakkan jawatan,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ditemui media selepas menyempurnakan penyerahan bakul makanan dan ayam segar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai Usul Undi Percaya di Parlimen yang dijadualkan pada 7 September ini, Anwar berkata ia mesti dibawa ke Dewan Rakyat kerana Perdana Menteri telah jatuh namun tidak mahu meletakkan jawatan.

“Saya bukan soal dia secara peribadi tetapi juga yang bersekongkol dengannya. Ini bukan saja berkait dengan soal Perlembagaan tetapi juga institusi diraja.

“Sebagai rakyat Malaysia yang faham Rukun Negara, bila raja ambil keputusan berdasarkan keluhuran Perlembagaan dan undang-undang, bagaimana seorang Perdana Menteri langgar ini semua hanya nak pertahankan kuasa?

“Lebih parah ada kuncu-kuncu yang sanggup menggadai prinsip menghina institusi raja semata mata untuk pertahankan kuasa,” katanya lagi.

Mengenai keputusan Majlis Presiden PH menamakan beliau sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata ia adalah pendirian PH kerana gabungan itu menjadi blok terbesar dalam Parlimen.

“Itu pendirian PH supaya satu calon daripada PH untuk mengelak kekeliruan kerana ada khabar angin kononnya terdapat rundingan untuk memperjuangkan orang lain (sebagai Perdana Menteri).

“Itu setakat Majlis Presiden yang diputuskan, ini pendirian kita tetapi ia tidak mengelak untuk kita bekerjasama dengan semua pihak,” katanya.

Mengenai terdapat cadangan supaya kerajaan perpaduan dibentuk, Ketua Pembangkang itu berkata sesiapa pun memimpin harus mengambil kira suasana politik hari ini yang memerlukan kerjasama semua pihak.

“Ini supaya kita ada kerajaan stabil dengan dasar yang jelas, tidak seperti mana yang sekarang,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Anwar Ibrahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here