Annuar pertikai tindakan Speaker dedah jumlah sokongan PM

0
1

AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar musa mempertikaikan tindakan Speaker Dewan Rakyat yang didakwa mendedahkan jumlah kedudukan terkini Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri.

Beliau berkata, akhir-akhir ini terdapat berita mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dikatakan memberi atau melaporkan perkara tersebut.

“Ia sama ada diberikan kepada pihak tertentu yang meminta laporan, atau kepada pihak media yang memetik sumber dan sebagainya, walaubagaimanapun perbuatan ini, jika benar berlaku, amatlah salah dan mengelirukan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Yang Dipertua Dewan hendaklah bertanggungjawab mengikut kuasanya seperti terkandung dalam Perlembagaan.

“Bukan semua pihak boleh mengarahkan YDP Dewan melakukan sesuatu di luar peraturan.

“Kedua, jumlah sokongan adalah hak Ahli Parlimen untuk ditentukan melalui prosedur tertentu dan ia perlu ditentukan dalam sidang.

“Sebarang angka dirumus oleh YDP Dewan tanpa proses undian dalam dewan adalah bersifat andaian, spekulatif dan tidak konklusif serta boleh dicabar,” katanya.

Ini kerana, katanya, setiap Ahli Parlimen mempunyai hak dan kebebasan untuk melaksanakan sebarang tanggungjawab mereka apabila sidang diadakan.

“Apalagi dalam soal undi percaya terhadap YAB Perdana Menteri yang merupakan satu proses yang teramat penting.

“Ia tidak boleh diandaikan atau dispekulasikan sehingga perkara itu benar berlaku dalam dewan.

“Dalam undian yang spesifik sebegini, tidak mustahil PM tidak mendapat sepenuhnya undi dari blok kerajaan dan tidak mustahil PM boleh juga mendapat undi dari pembangkang.

“Tidak harus dilupakan kemungkinan berlaku ketidakhadiran atau hadir tetapi tidak mengundi,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, oleh kerana Perdana Menteri telah menetapkan untuk kemukakan usul percaya dalam sidang Parlimen yang telahpun dijadualkan, maka semua pihak harus bersabar dan menerima proses tersebut.

“Proses itu amat menepati perlembagaan serta tepat dari segi konvensyen demokrasi berparlimen.

“Sebarang usaha yang di lihat bersifat manipulatif, tidak berperlembagaan, percubaan memaksa atau bersifat prejudis dan berpihak akan mengundang krisis dan pertikaian,selain turut berkemungkinan menimbulkan fitnah.

“Jadi, semua pihak harus berhati hati dalam semua tindakan demi mengelak berlakunya krisis kepercayaan terhadap ketelusan proses bagaimana sesuatu isu besar di rungkai dan diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, berdasarkan surat yang tular itu, Azhar didakwa memaklumkan kepada Istana Negara bahawa Muhyiddin kini hanya memiliki 100 sokongan di Parlimen.

Surat kepada Istana Negara itu dikatakan sebagai menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan sokongan terhadap kerajaan, selain bagi mendapatkan status terkini bilangan Ahli Dewan Rakyat yang menyokong kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here