175 NGO rayu Agong, Raja Melayu campur tangan henti krisis politik

0
1

SEBANYAK 175 badan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia merayu campur tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk menitahkan agar pemimpin politik mengutamakan nyawa rakyat ketika pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang mewakili kesemua NGO itu memohon Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu campur tangan untuk menghentikan percakaran antara pemimpin politik dan meminta mereka memberi keutamaan kepada nyawa rakyat, bukannya percaturan kuasa.

Menerusi kenyataan dibacakan selepas menyerahkan memorandum itu di Istana Negara hari ini, NGO terbabit melahirkan kebimbangan jika kerajaan sedia ada terbubar, tiada mana-mana pihak memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Sekiranya keadaan ini berlaku ia sudah pasti akan menjejaskan dan meletakkan negara dalam keadaan amat tidak stabil. Ini akan menjejaskan usaha dan fokus kerajaan menangani Covid 19.

‘Menyambut titah nasihat daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang yang menitahkan agar pemimpin berhenti daripada perebutan kuasa dan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan perpaduan ummah.

“Kerisauan dan kekecewaan yang dizahirkan baginda Raja Raja Melayu berkaitan krisis politik yang tidak berkesudahan ini perlu ditangani oleh semua pihak,” kata kenyataan itu, hari ini.

Mereka juga berpendapat isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri, atau pertukaran kerajaan bukanlah perkara yang sesuai dilakukan ketika ini kerana hanya akan menambahkan lagi kecelaruan sedia ada.

Ini kerana, katanya, 32 juta rakyat tidak patut dipertaruhkan nyawanya hanya kerana memuaskan nafsu segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa.

“Tidak ada jaminan bahawa pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Apa yang pacal patik sekelian khuatiri ialah ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan nasib rakyat akan menjadi lebih buruk.

“Atas sebab-sebab di atas maka patik sekalian memohon agar Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat menamatkan pertelingkahan yang merugikan agama, bangsa dan negara ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here