398,687 responden tak setuju sekolah dibuka 1 September – JKPPH

0
1
Dua orang kanak-kanak sedang memilih beg baru.

SEBANYAK 398,687 responden terdiri kalangan ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah tidak bersetuju sesi persekolahan dibuka pada 1 September ini.

Respon tersebut diperoleh daripada pungutan suara dalam talian dilakukan Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) dalam tempoh 48 jam bermula 11 hingga 13 Ogos.

JKPPH dalam kenyataan berkata, pihanya mengambil maklum mengenai keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mempertimbang pembukaan sekolah pada 1 September dan ia tersebut menimbulkan banyak kegusaran dalam jiwa masyarakat.

“Dari 421,446 responden yang telah memberikan respon, seramai 94.6 peratus (398,687 orang) tidak bersetuju untuk sekolah dibuka pada 1 September, dan hanya 5.4 peratus sahaja bersetuju.

“Dari semua responden tersebut, seramai 87.1 peratus (367,079 orang) terdiri kalangan ibu bapa, manakala 9.7 peratus adalah guru, dan 2.4 peratus adalah kakitangan sekolah,” kata kenyataan itu, hari ini.

JKPPH berkata, bilangan kes dan kematian akibat Covid-19 yang semakin meningkat tinggi menjadikan ibu bapa tidak mahu memperjudikan nasib anak-anak mereka.

Di samping itu, katanya, pelbagai pungutan suara telah dilakukan banyak pihak secara dalam talian bagi membantah sekolah dibuka pada 1 September nanti.

“Hal ini perlu diberi perhatian serius oleh KPM dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut,” katanya lagi.

KPM sebelum ini memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September ini.

Bagi mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19, sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here