Pendaftaran Muda ditolak kerana campur tangan politik – Anwar

0
1
anwar ibrahim

KEPUTUSAN Menteri Dalam Negeri semalam untuk menolak rayuan pendaftaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) disifatkan sebagai pelik serta dilakukan akibat campur tangan politik.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga jelas di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), amalan demokrasi menurun dengan ketara termasuk penggantungan Parlimen.

“Kegagalan untuk memberikan proses yang wajar dalam pendaftaran Muda adalah contoh lain serangan terhadap demokrasi Malaysia oleh pemerintah yang telah melanggar semua norma dan etika Perlembagaan untuk terus berkuasa.

“Saya meminta Menteri Dalam Negeri untuk memberikan Muda penelitian yang adil dan objektif berdasarkan peraturan Akta Pertubuhan 1966,” kata Presiden PKR itu menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi memaklumkan rayuan pendaftaran Muda ditolak oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Amir memaklumkan menerusi surat bertarikh 11 Ogos 2021 dan ditandatangani Hamzah itu, penolakan rayuan dibuat berdasarkan Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355).

Berikutan pihaknya kecewa dengan keputusan tersebut yang tidak disertakan dengan sebarang sebab penolakannya.

Pada 4 Februari lalu, Muda menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan Menteri Dalam Negeri.

Ia susulan permohonan pendaftaran parti itu yang dihantar pada September 2020 ditolak RoS pada Januari lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here