Nurul Huda Abhar
KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan kepentingan suntikan vaksin dan elakkan berkumpul di ruangan sesak serta terkurung bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.
Menurutnya, semua pihak perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan diri tidak terdedah kepada virus berkenaan.
“Kita semua mesti mengambil vaksin dan mengasingkan diri, mengelakkan ruang yang sesak dan terkurung.
“Sila ambil semua langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan daripada dijangkiti.
“Paling penting apabila kita boleh berkumpul semula nanti, tiada bilangan yang hilang. Jaga keselamatan, kekal duduk di rumah,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter, hari ini.
Semalam, Malaysia mencatatkan 318 kematian harian akibat Covid-19 menjadikan 11,691 kes kematian akibat virus tersebut semenjak ia dilaporkan melanda negara.
Daripada 318 kes kematian akibat Covid-19 itu, 93 daripadanya adalah kematian luar hospital (BID) iaitu membabitkan 57 warganegara dan 36 bukan warganegara.
Sementara sebanyak 21,668 kes baharu Covid-19 yang dicatatkan semalam adalah jangkitan harian paling tinggi setakat ini. – Malaysiapost

