Surat tular: Speaker perlu bertanggungjawab – Khaled

0
2

SPEAKER Dewan Rakyat perlu bertanggungjawab menjelaskan mengenai surat tular berkaitan jumlah kedudukan terkini sokongan Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jika surat itu tidak sahih, maka Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun harus segera menafikannya.

“Jika tidak, beliau telah gagal menjalankan tugas dengan adil dan neutral serta sengaja bersekongkol dengan Perdana Menteri bagi mempertahankan keabsahannya yang telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khaled berkata, permintaan Istana Negara melalui surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk dimaklumkan bilangan terkini sokongan Ahli Parlimen ke atas Perdana Menteri bukan sahaja sesuatu di luar kelaziman.

Sebaliknya, katanya, ia menunjukkan penjelasan Perdana Menteri bahawa beliau masih mempunyai majoriti diragui.

Beliau berkata, surat jawapan balas Speaker yang tular, memaklumkan bahawa bilangan mutakhir jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri berbaki hanya 100 orang.

“Jadi, jika sahih surat Speaker Dewan Rakyat, maka telah diabsahkan oleh Speaker bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan dan perlu segera meletakkan jawatan.

“Dalam keadaan seperti ini, Perdana Menteri tidak lagi perlu menguji sokongan beliau di Dewan Rakyat.

“Beliau maklum dan tahu sokongan sebenar terhadapnya. Justeru beliau mesti mematuhi segera Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khalid turut merayu agar Yang di-Pertuan Agong, selaku benteng kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam mempertahan amalan demokrasi negara, terus tegas melaksanakan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Semoga Yang di-Pertuan Agong terus teguh mempertahankan kedaulatan Perlembagaan dan melaksanakan segala peruntukannya dengan bijaksana dan berhikmah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here