“JANGAN lupa sembahyang, ingat Allah setiap masa kerana kita tidak tahu bila masa akan pergi.” Itu pesanan terakhir mangsa tempak yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29.
Pesanan itu diberikan kepada adiknya Sharif Mohd Saddam Al-Attas Wan Sabli, 27, sebelum turun bekerja di kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan, pagi tadi.
Sharif Mohd Saddam berkata, abangnya itu juga berhasrat untuk pergi memancing bersama-samanya dalam masa terdekat.
“Dia cukup teruja untuk turun memancing kerana baru membeli joran pancing baharu. Kami sekeluarga tidak menyangka abang pergi sekelip mata begitu sahaja,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Dia ditemui ditemui di perkarangan Unit Kecemasan Pusat Jantung Umum Sarawak, Kota Samarahan hari ini.
Sharif Mohd Saddam berkata, arwah telah berkhidmat bersama TUDM kira-kira 12 tahun dan sebelum ini bertugas di TUDM Kepala Batas, Kedah sebelum berpindah tugas lebih dua tahun di TUDM Kota Samarahan.
“Isterinya baru habis berpantang, anak lelaki berusia dua bulan. Arwah anak kedua daripada tujuh adik-beradik meninggalkan seorang isteri dan tiga anak,” katanya.
Sementara itu, Polis telah mengenal pasti identiti empat anggota TUDM yang maut dalam kejadian tembakan itu.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, anggota yang maut terdiri daripada Koperal U Ho Swee Boon dari Lundu; Koperal U Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya; Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dari Sibu dan Koperal U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.
Beliau berkata, maklumat awal kejadian mendapati suspek dipercayai mengamuk dan masuk ke balai pengawal di kem Handau Skuadron 330 seterusnya mengambil senjata api.
“Ketika itu penyelia bertugas adalah Koperal Julaihi. Turut berada di situ adalah Koperal Mohd Saiful Dania, Koperal Jas anak Munap, LU Hezerin Muhd dan LU Afiq Nazmi Rozaidi.
“Suspek sempat bertanya nak hidup atau mati. Koperal U Sharif Mohd Siddiq cuba menenangkan suspek tetapi suspek telah melepaskan tembakan dan terkena perut Shariff. Mendengar bunyi tembakan, kesemua saksi bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail sebelum ini berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden itu.
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada jam 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas. – Malaysiapost
Kredit Foto: Malay News

