“APA perlunya saya diampun sekiranya saya tak salah?” kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian susulan laporan sebuah portal berhubung tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini.
Memorandum berkenaan adalah bagi memohon Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada Najib dan melantiknya sebagai Perdana Menteri interim bagi menyelesaikan krisis yang melanda negara.
Bekas Presiden Umno itu berkata, apabila topik ini menjadi berita utama di portal tersebut dan disiar secara langsung, maka beliau sudah mengetahui siapa yang cuba mengenakan dirinya.
Bagaimanapun, Najib menzahirkan ucapan terima kasih kepada NGO berkenaan kerana mengambil berat tentangnya.
Namun, Najib berkata, beliau tidak pernah berhubung dengan mereka dan tidak diberitahu tentang petisyen berkenaan yang diserahkan kepada Istana Negara, pagi tadi.
Najib berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk melalui prosedur perbicaraan dan perundangan ke atas semua kes yang dihadapinya bagi membersihkan nama secara telus dan adil.
“Justeru, Saya ulang… Saya mahu kes-kes saya melalui proses perbicaraan dan perundangan yang adil dan telus sebab ianya satu-satu cara sahaja untuk bersihkan nama saya sepenuhnya.
“Saya tidak mahu kes saya digugurkan begitu sahaja dan saya tidak mahu apa-apa campur tangan politik.
“Saya amat yakin saya tidak bersalah. Berani kerana benar,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, sebuah NGO mencadangkan Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Interim bagi menggantikan pentadbiran Kerajaan sedia ada pimpinan Tan Sri Mahyiddin Yassin.
Cadangan itu dikemukakan Perhubungan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) dengan alasan Muhyiddin telah gagal mendapatkan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen sekali gus bukti kegagalannya menangani isu politik negara. – Malaysiapost

