Pertemuan Muhyiddin-Hadi bukti PM terdesak

0
1

PERTEMUAN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, disifatkan sebagai langkah terdesak Perdana Menteri untuk mencatur strategi politik licik.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, berkata Muhyiddin sanggup menggunakan alasan lawatan kerja Terengganu untuk bertemu Presiden PAS itu.

“Senario politik Malaysia kembali panas seolah-olah tidak berpenghujung apabila Menteri dan Ahli Parlimen sedang giat berjumpa bagi merangka strategi licik masing-masing.

“PM yang sedang ‘sakit’ kerana hilang majoriti, berjumpa (Abdul) Hadi yang sedang sakit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ‘drama’ itu sekali gus membuktikan Muhyiddin yang kehilangan majoriti kelihatan sangat terdesak untuk mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi yang sedang sakit di Marang.

“Mahiaddin (Muhyiddin) yang mempunyai tidak sampai 100 orang Ahli Parlimen menyokongnya sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal menjadi Perdana Menteri menjelang Undi Percaya pada Sidang Khas Parlimen September ini,” katanya.

Beliau berkata, adalah amat mustahil PAS akan menerima DAP, PKR dan Amanah untuk membentuk kerajaan pada masa ini kerana ketiga-tiga parti itu adalah musuh ketat parti itu sejak dahulu lagi.

“Semua orang tahu PAS menolak DAP, PKR dan Amanah yang merupakan parti serpihannya sebelum PRU14 lalu.

“Namun kesakitan PM hanya mampu diatasi dengan bantuan DAP, PKR dan Amanah sahaja untuk menyelamatkan jawatan dan kerajaan pimpinannya,” katanya.

Nik Dir berkata, kedudukan Abdul Hadi akan bertambah parah jika bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah.

Katanya, ini kerana agak sukar untuk Abdul Hadi menjelaskan kepada penyokong PAS sekiranya ia menjadi kenyataan kerana telah lama memusuhi ketiga-tiga parti itu.

“Sekarang dan jadi macam kisah petani tua dengan harimau kambing dan sirih yg berkebun di sebuah pulau.

“Sama-sama kita lihat apakah PAS akan menerima kembali DAP dan PKR sekutu dalam Barisan Alternatif dulu serta amanah parti serpihan yang amat dimusuhi,” katanya.

Semalam, media melaporkan Muhyiddin dilaporkan mengunjungi Abdul Hadi di Kampung Rusila, Marang, Terengganu.

Turut mengiringi Perdana Menteri, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris. – Malaysiapost

Kredit Foto: Berita Perak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here