PULAU Pinang berada di landasan betul bagi mencapai matlamat 100 peratus populasi dewasa menerima suntikan dos pertama menjelang minggu pertama September atau lebih awal.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata beliau yakin ia mampu dicapai berdasarkan jumlah pemberian vaksin harian kepada penduduk negeri itu yang terus dipergiatkan.
“Kadar vaksinasi harian bagi Pulau Pinang pada 12 Ogos 2021 adalah 35,688 dos iaitu rekod pencapaian tertinggi sehingga kini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu Kon Yeow berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Covid-19 hari ini bersetuju untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri membawa pendirian Pulau Pinang ke Pusat berhubung prosedur operasi standard (SOP) dine-in.
“Ia bagi pemilik dan pekerja restoran/pemilik premis menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut berkongsi pelan penyusunan kemudahan perubatan bagi menghadapi peningkatan laporan kes harian kini, antaranya:
(i) Pertambahan katil untuk pesakit Covid-19 yang mana Kompleks Masyarakat Penyayang bakal dijadikan Pusat Rawatan Risiko Tinggi (PRRT) dengan penempatan 100 katil bagi menempatkan pesakit Kategori 3 dan Kategori 4;
(ii) Jaminan pembekalan tangki oksigen yang mencukupi bagi keperluan pesakit, dan setiap isi rumah digalakkan untuk memiliki ‘pulse oximeter’ yang dapat dibeli secara dalam talian dan farmasi;
(iii) Menambah baik serta meningkatkan sistem pengesanan kontak bagi memastikan rantaian perebakan dapat diputuskan pada kadar sesegera mungkin;
(iv) Pautan khas, https://forms.gle/1PSgwdPA5L32ugxy7 oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) JKNPP yang mana individu dengan keputusan positif boleh membuat laporan bagi tindakan pihak-pihak berkaitan;
(v) Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Hotline 04 – 382 7143 / 04 – 3827142 beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 10 malam bagi pemantauan kes-kes positif yang diletakkan di bawah pemantauan di rumah. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Chow Kon Yeow

