Kes tembak TUDM: Rakan cuba tenangkan suspek, namun ditembak

0
1

SEORANG mangsa kejadian tembakan di kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan, pagi tadi berusaha menenangkan suspek namun ditembak di bahagian perut.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Mancha Anak Ata, berkata suspek yang juga anggota TUDM sebelum itu merampas senjata api dari tempat simpanan di bilik pengawal.

Katanya, selepas menembak mangsa pertama, suspek masuk ke bilik rehat dan menembak seorang lagi mangsa pada bahagian sisi dada sebelah kanan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

Menurutnya, suspek seterusnya menembak seorang lagi rakannya di bahagian belakang dan selepas itu membunuh diri dengan menembak bahagian bawah dagu menembusi otak dan mati di tempat kejadian.

“Dua mangsa termasuk suspek mati di tempat kejadian dan seorang cedera parah dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Hospital Jantung Kota Samarahan.

“Susulan kejadian itu, pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak bergegas ke tempat kejadian.

“Setakat ini siasatan meliputi pengambilan sampel DNA, senjata, kesan tembakan dan kelongsong senjata akan dihantar ke forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mancha berkata, polis juga telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi akan dipanggil untuk siasatan lanjut, manakala motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Namun begitu, katanya, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan-Bunuh.

“Maklumat suspek dan mangsa dirahsiakan untuk menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga. Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atas kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail mengsahkan empat anggota TUDM mati dalam kejadian tembak di Kem TUDM Kota Samarahan, pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM. – Malaysiapost

Kredit Foto: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here