Jika Najib tak salah, buktikan di peringkat rayuan bukan pengampunan diraja

0
1
najib razak

Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) kesal kerana masih wujud kelompok Umno yang berusaha mengangkat Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Interim.

Ini kerana, kata Ketua Penerangannya, Akif Rusli, Najib telah diputuskan bersalah melibatkan tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

“Jika benar beliau tidak bersalah, ia perlu dibuktikan dan wajar untuk diputuskan di peringkat rayuan. Bukannya dengan jalan mendapatkan pengampunan diraja.

“Beliau juga sedang berhadapan dengan rayuan terhadap sabitan berhubung tunggakan cukai RM1.69 bilion yang perlu dijelaskan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, Akif berkata adakah rakyat sekali lagi ingin ditipu dan dikhianati oleh pemimpin seperti itu dengan memberi ruang kuasa pentadbiran kepadanya.

Katanya, negara sedang berada dalam keadaan tenat dengan permasalahan keselamatan nyawa yang terancam, ekonomi tidak menentu, ketidakstabilan politik dan krisis sosial kebajikan dan pendidikan.

“Jelas negara ini memerlukan penyelesaian yang tuntas iaitu dengan penubuhan Majlis Pemulihan Negara seperti dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad melibatkan pakar-pakar dalam bidang tertentu.

“Pastinya bukan sebuah pentadbiran berkepentingan politik kepartian mahupun peribadi seperti yang wujud hari ini lebih-lebih lagi dengan isu ketiadaan majoriti mudah,” katanya.

Terdahulu hari ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan agar Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Interim bagi menggantikan pentadbiran kerajaan sedia ada pimpinan Tan Sri Mahyiddin Yassin.

Cadangan itu dikemukakan Perhubungan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) dengan alasan Muhyiddin telah gagal mendapatkan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen sekali gus bukti kegagalannya menangani isu politik negara.

Pengerusinya, Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz turut mencadangkan Yang di-Pertuan Agong memberi Pengampunan DiRaja kepada Najib selaku Orang Besar Berempat Negeri Pahang daripada apa jua tindakan mahkamah yang sedang berlangsung atau telah dijatuhi hukuman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here