PM baharu tak boleh dilantik, tiada seorang pun MP lain ada majoriti

0
1

PERDANA MENTERI, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan ketika ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti.

Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan.

“Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka Kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?

“Sedangkan tempoh dua bulan akan datang amat genting. Jika semua perancangan kerajaan dapat dilaksanakan seperti dijadualkan, kita akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober.

“Sekiranya terganggu dengan kemelut politik tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam keadaan beliau dan rakan-rakan dalam Kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, malangnya beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan kepadanya.

Katanya, ia menimbulkan keraguan tentang keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah.

Dalam keadaan ini, Muhyiddin berkata beliau mempunyai dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan iaitu memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya atau meletak jawatan.

“Pilihan saya yang paling mudah ialah meletak jawatan. Jika saya mengambil keputusan ini, maka selesailah urusan saya dan terserahlah kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda untuk memilih Perdana Menteri baharu.

“Menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, Tuanku boleh melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan yang terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku,” katanya lagi.

Namun beliau berkata sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

“Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna Kerajaan PN yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here