RUU had tempoh jawatan PM, Anti-Lompat parti akan dibentang – PM

0
1

SUATU Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kedua-dua rang undang-undang itu akan dibentangkan jika kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara melebihi majoriti dua pertiga.

Katanya, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang.

“Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.

“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan Ahli Parlimen kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang.

“Sejajar jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang lebih efektif, kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.

Untuk itu, katanya, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan tersebut.

“Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan.

“Rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirunding terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen.

“Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberi saraan dan kemudahan setara dengan seorang Menteri Kanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here