
SEKRETARIAT Solidariti Rakyat (SSR) akan turun ke jalanan sekali lagi bagi meneruskan himpunan #Lawan jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih enggan meletakkan jawatan.
Jurucakap sekretariat itu, Mohamad Asraf Sharafi berkata ada pihak yang tidak senang dengan gerakan serta tuntutan dibuat oleh kumpulan aktivis anak muda tersebut, namun mereka tidak akan sesekali berundur.
“Ada pihak tidak senang hati dan tidak senang duduk dengan gerakan dan tuntunan yang kita nyatakan.
“Namun kami ingin menyatakan tidak akan sesekali berundur dan akan terus menuntut sehingga Muhyiddin letak jawatan, itu janji kami.
“Sekiranya tidak, kami akan turun ke jalan sekali lagi,” katanya kepada media selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Sementara itu, Mohamad Asraf berkata beliau bersama beberapa lagi aktivisi SSR telah dipanggil memberi keterangan kepada polis untuk disoal siasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Ia susulan penglibatan mereka dalam himpunan sekumpulan anak muda berpakaian hitam di ibu negara, pada 31 Julai lalu.
Mengulas mengenainya, Mohamad Asraf berkata mereka disoal siasat selama kira-kira sejam setengah dan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Namun kami ingin menyatakan penggunaan Akta Hasutan adalah sangat berlebihan dan ini satu intimidasi kepada aktivis yang hanya menyuarakan pandangan dan menggunakan hak kami untuk berhimpun dan bersuara.
“Penggunaan Akta Hasutan amat tidak patut untuk menyekat rakyat daripada bersuara,” katanya lagi. – Malaysiapost
